Pasangan kembar lelaki tersebut yang ditemani ibunya, Azurawati Ngah, merupakan antara 99 murid yang menyertai Program Transisi Tahun Satu.

Menurut Azurawati, anak kedua dan ketiga daripada tiga adik beradik itu tidak sabar untuk ke sekolah selain mahu berkenalan dengan rakan baru.

“Tidak dinafikan memang penat menjaga anak kembar kerana mereka mempunyai pelbagai kerenah serta aktif selain saya memerlukan masa yang lebih untuk menyiapkan mereka pada waktu pagi.

“Saya juga berharap anak kembar saya ini dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah serta rakan baru supaya mereka berasa lebih seronok untuk belajar dan tidak meragam,” katanya yang merupakan seorang suri rumah.

Tambah Azurawati, peruntukan persekolahan untuk pasangan kembar tersebut juga tinggi kerana dia perlu membeli pakaian serta kelengkapan sekolah lebih banyak berbanding ibu bapa yang hanya mempunyai seorang anak Tahun Satu.

Jelasnya, dia membelanjakan sebanyak RM1,000 bagi persiapan sekolah kembar tersebut termasuk anak sulungnya yang berusia 10 tahun.

Dalam pada itu, pasangan kembar, Ahmad Hafizul Al-Amin Mohd. Halwi dan adiknya, Ahmad Isa Fahmi yang juga murid Tahun Satu di sekolah tersebut turut mencuri tumpuan para guru dan ibu bapa pada hari pertama persekolahan. - K! ONLINE