Ketua ekspedisi kumpulan pendaki Malaysia Langkawi Island Hikers, Khairul Azim, 32, berkata, sewaktu kejadian berlaku, beliau bersama 13 lagi rakan dari Malaysia sedang menikmati sarapan di Base Camp Savana yang terletak di kaki Gunung Rinjani.

“Kira-kira pukul 6.45 pagi, kami dikejutkan dengan bunyi dan gegaran yang kuat selama lebih kurang dua minit sehingga mengakibatkan panik di kalangan pendaki.

“Kami turut terkejut apabila melihat puncak gunung tersebut mula diselubungi oleh debu-debu yang tebal,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Khairul, beliau bersyukur kerana sewaktu gempa berlaku, kumpulan ekspedisi yang diketuainya telah tiba di Base Camp Savana pada tengah malam tadi selepas menawan puncak Gunung Rinjani.

“Kami bernasib baik kerana sudah turun dari gunung berkenaan dan tiada di antara kami yang mengalami kecederaan berikutan gempa tersebut.

“Bagaimanapun sebaik tiba di Base Camp Sembalun yang terletak di daerah Sembalun Sajang, kami dapati telah berlaku banyak runtuhan melibatkan inap desa dan difahamkan terdapat seorang wanita rakyat Malaysia turut terkorban ditimpa runtuhan,” katanya.

Jelas Khairul, dia dimaklumkan oleh penduduk tempatan bahawa kejadian seumpama itu merupakan yang pertama kalinya berlaku di kawasan tersebut.

“Penduduk di sini turut bertempiaran lari menyelamatkan diri sambil membaca ayat suci Al-Quran sebaik gegaran berlaku.

“Ini adalah pengalaman kali pertama kami merasai gegaran sebegitu malah ada di antara peserta ekspedisi masih dalam keadaan terkejut dan trauma akibat dari kejadian itu,” ujarnya lagi.

Kosmo! difahamkan bahawa kumpulan ekspedisi yang diketuai oleh Khairul akan pulang ke tanah air pada pukul 12 tengah hari esok dan mereka kini ditempatkan di daerah Lombok Selatan kira-kira lima jam perjalanan menaiki van daripada kawasan gegaran. - K! ONLINE