Pemfailan notis tunjuk sebab itu dibuat berikutan tindakan Serina yang didakwa membenarkan kedua-dua anak mereka, Tristan Tareef dan Issabella Safiyya, masing-masing berusia 7 dan 6 tahun bermalam dengan bapanya, Datuk Redzuawan Ismail atau dikenali Cef Wan serta memburukkannya di media sosial.

Perintah persetujuan bersama itu ditandatangani Gavin dan Serina selepas kedua-duanya bersetuju untuk bercerai pada 27 Julai. 

Gavin atau nama Islamnya Salahudin Ghaffar, 41, memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) pada 17 April lalu.

Pada prosiding di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Gavin memberitahu mahkamah bahawa permohonan tunjuk sebab itu dibuat berikutan Serina didakwa melanggar perjanjian yang dipersetujui bersama antara kedua-dua pihak yang dieksibit pada 27 Julai 2017.

"Dalam eksibit berkenaan, pada perenggan tujuh, kedua-dua pihak bersetuju apabila anak-anak tidak dibenarkan tidur di rumah Cef Wan tanpa kehadiran Serina atau pembantu rumah dan mereka mesti tidur berlainan bilik dengan Cef Wan.

"Persetujuan bersama dalam perenggan lapan pula menyatakan responden tidak dibenarkan memburukkan atau memperlekehkan atau mengungkit di media sosial mengenai defendan dan keluarganya secara langsung atau tidak langsung.

"Persetujuan ini telah dicapai hasil perbincangan bersama anak guam dan bekas isteri bersama peguam kedua-dua belah pihak," katanya.

Zainul berkata, terdapat beberapa perlanggaran terhadap persetujuan bersama itu, antaranya ialah pada 19 Mac lalu apabila Serina memuat naik status di laman Instagram miliknya mendakwa bahawa Gavin cuba membuli dan mengusik emosi dirinya sebagai ibu selepas sengaja tidak membenarkan dia berjumpa anaknya setiap hari.

"Ini adalah satu cubaan untuk memperlekehkan anak guam saya kerana di dalam persetujuan bersama yang dipersetujui, mereka telah menyatakan bahawa responden hanya boleh berjumpa anaknya setiap hujung minggu, Sabtu dan Ahad setiap bulan pada bila-bila masa," katanya. 

Selain itu, kata Zainul, pada hari yang sama, Serina dalam Instagram miliknya sekali lagi menyatakan anak guam saya bersekududukan hingga ditangkap khalwat sedangkan perkara itu tidak benar.

Sehubungan itu, Zainul berkata, adalah wajar mahkamah mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap Serina berikutan terdapat banyak perkara yang dipersetujui bersama telah dilanggar.

Hakim Salehan Yatim menetapkan 21 Mei ini untuk mendapatkan keputusan kebenaran permohonan notis tunjuk sebab terhadap Serina. - K! ONLINE