Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, bagaimanapun, pihaknya memberi kuasa penuh kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan terperinci mengenai kejadian tersebut.

Jelasnya, meskipun berlaku gangguan rangkaian beberapa hari lalu, MAHB memberi jaminan kepada orang ramai bahawa aspek keselamatan di lapangan terbang itu masih utuh.

“Ini adalah kerana kerjasama erat pihak kami dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

“Selain itu, tahap bantuan, kerjasama dan pemahaman sewaktu gangguan ini berlaku turut diberikan daripada syarikat penerbangan yang terlibat kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, MAHB akan terus komited dalam penyediaan kualiti perkhidmatan terbaik dan akan terus memantau keadaan agar operasi di KLIA terus lancar.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, gangguan sistem di KLIA di sini yang bermula malam Rabu lalu adalah berpunca daripada kegagalan rangkaian.

Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan berkata, tiada sebarang aktiviti serangan siber dikesan membabitkan gangguan kepada sistem dialami di lapangan terbang itu.

Penemuan awal siasatan yang dilaksanakan oleh MAHB mendapati kejadian itu disebabkan kegagalan perkakasan rangkaian.

NACSA telah mula melaksanakan pemantauan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan MAHB sebaik sahaja gangguan mula dikesan pada 21 Ogos lalu.

Dalam pada itu, menurut Raja Azmi, MAHB ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan yang membantu dalam menyelesaikan gangguan itu. - K! ONLINE