Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam satu kenyataan berkata, setakat ini, sistem di lapangan terbang itu masih belum pulih sepenuhnya dan pasukannya sedang bekerja keras sepanjang masa untuk memperbaiki gangguan sistem teknikal di KLIA.

“Antara jalan penyelesaian yang sedang dijalankan adalah dengan menggantikan peralatan. Kita telah menerima peralatan tersebut dan akan melakukan ujian bagi mengatasi gangguan teknikal itu malam ini.

“Kami berharap gangguan ini dapat dipulihkan pada pagi esok,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut kenyataan itu, seramai 1,000 orang kakitangan telah ditugaskan untuk membantu penumpang yang dan syarikat penerbangan yang terlibat.

Jelasnya, penumpang boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai situasi semasa di KLIA melalui sosial media MAHB.

“Penumpang dinasihatkan untuk tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya emoat jam sebelum waktu penerbangan. Selain itu, penumpang juga digalakkan untuk mendaftar masuk penerbangan mereka melalui aplikasi di telefon pintar atau laman web.

“Setakat ini, penumpang yang mempunyai sebarang masalah boleh bertemu dengan kakitangan lapangan terbang yang berada di KLIA,” katanya.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, sebanyak 20 penerbangan yang dilaporkan ditangguh di terminal utama KLIA dan penerbangan terjejas termasuk ke Narita, Jepun; Perth, Sydney dan Melbourne, Australia; Jakarta, Indonesia; London dan Hong Kong.

Gangguan itu telah menjejaskan beberapa sistem lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter-kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS). - K! ONLINE