Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, susulan perkembangan positif, pihaknya menyasarkan pemulihan sepenuhnya gangguan bekalan air di keseluruhan kawasan yang masih terjejas pada pukul 9 pagi Jumaat ini.

"Pemulihan gangguan bekalan air di kawasan Kuala Lumpur setakat ini mencapai tahap 99 peratus; Petaling (98 peratus), Klang/Shah Alam (97 peratus) dan Kuala Langat (99 peratus).

"Bagaimanapun, bantuan lori-lori tangki masih digerakkan dengan memberi fokus kepada kawasan yang masih belum pulih sepenuhnya dan berdasarkan status pemulihan terkini, Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih diaktifkan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, bagi wilayah Petaling, kawasan yang masih dalam proses pemulihan gangguan bekalan adalah di Bandar Kinrara, Bandar Tasik Selatan, Bandar OUG, Desa Petaling, Jalan Klang Lama Batu 3 hingga 8, Kampung Baru Salak Selatan, PPR Pinggiran Bukit Jalil, Salak South Baru, Seksyen 20 Petaling Jaya, SS1, SS4, SS23 hingga SS26, Taman Bukit Indah, Taman Castlefield, Taman Continental, Taman Gembira, Taman Salak Jaya, Taman Salak Selatan dan Taman Sungai Besi. - Bernama