Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berkata, data perkumpulan majikan menunjukkan seorang pemegang diploma boleh mendapat pendapatan sebanyak RM1,661 dalam 2018 berbanding RM1,458 dalam 2010, ijazah sarjana muda, RM2,393 (RM1,993) dan ijazah sarjana RM3,267 (RM2,923).

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, data itu berdasarkan Kajian Gaji MEF untuk Bukan Eksekutif dan Eksekutif 2010 dan 2018 dengan data yang dikumpul daripada syarikat anggota yang terlibat dan diterbitkan oleh MEF.

Katanya, BNM telah menganalisis dan menyesuaikan data gaji MEF kepada terma ‘nyata’, dengan mengambil kira faktor seperti Indeks Harga Pengguna.

"MEF menyatakan apabila data gaji sebenar menunjukkan gaji pokok permulaan untuk kesemua kategori termasuk pemegang diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana dalam trend meningkat dari 2010 ke 2018, tetapi dinyatakan sebaliknya dalam laporan BNM, ia telah memberikan gambaran buruk kepada majikan di Malaysia.

“Majikan Malaysia dipersalahkan kerana tidak membayar gaji pokok permulaan yang mencukupi untuk pekerja yang baru diambil bekerja," katanya.

Menurut laporan BNM, seorang siswazah baharu lepasan diploma boleh mendapat pendapatan RM1,376 dalam 2018 berbanding RM1,458 dalam 2010 sementara pemegang ijazah sarjana RM2,923 (RM2,707).

Shamsuddin berkata, analisis BNM terhadap gaji nyata mungkin berguna untuk perumusan dasar tetapi boleh menyebabkan kecurigaan dan suasana tidak harmoni dalam kalangan majikan dan pekerja.

Beliau menegaskan, gaji pokok permulaan hanya terpakai semasa tempoh percubaan dan jika pekerja yang dalam tempoh percubaan membuktikan dia merupakan aset kepada organisasi itu, gajinya akan disemak semula kepada yang lebih tinggi bagi memastikan dia kekal dengan majikan.

Beliau berkata, gaji pokok dalam laporan itu tidak termasuk kerja lebih masa, bayaran ke atas kerja yang dilaksanakan pada hari rehat dan cuti umum, elaun, bonus dan lain-lain pembayaran berkaitan.

"MEF berpandangan, peningkatan gaji pokok sepatutnya berdasarkan keupayaan syarikat untuk membayar dan prestasi pekerja," katanya. - Bernama