Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) akan mengadakan mesyuarat pada 13 Jun ini bagi meneliti hasil Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2016.

Beliau berkata, Jawatankuasa Teknikal Perundangan Gaji Negara (JTPGN) telah selesai menjalankan kajian itu sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Katanya, mesyuarat MPGN itu juga akan mempertimbangkan syor kadar gaji minimum dan perkara lain yang berkaitan bagi menepati janji manifesto Pakatan Harapan.

"Selepas mesyuarat, kementerian akan menyediakan Memorandum Jemaah Menteri bagi suatu keputusan dibuat kerajaan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Sumber Manusia di sini hari ini. - Bernama