Isteri kepada lelaki berkenaan dipercayai terjatuh di tandas dan menyebabkan bayi berusia lima bulan yang dikandungnya gugur.

Kisah menyayat hati itu dikongsi seorang aktivis gerakan Amal Team, Mohd Zulhairi Zainol, 34, atau lebih dikenali sebagai Hery menerusi akaun laman sosial Facebook miliknya.

Zulhairi menerusi hantaran di Facebooknya berkata, dia menerima panggilan daripada wakil sebuah hospital hari ini menyatakan ada sepasang suami isteri menghadapi masalah tidak cukup wang untuk mengebumikan mayat bayi lelakinya.

“Selepas mendapat panggilan daripada pihak hospital, saya bertemu dengan bapanya yang memberitahu dia cuba mengebumikan jenazah bayi lelakinya di tempat asalnya namun pihak pengurusan meminta bayaran RM300 sedangkan dia hanya mempunyai RM150 pada masa itu.

“Saya sebak dan sedih apabila mendengar kisahnya itu sedangkan urusan yang sepatutnya didahulukan adalah urusan pengebumian dan bukan urusan kewangan,” katanya.

Mohd Zulhairi berkata, dia kemudian mengambil jenazah bayi itu sebelum memandikan, mengkafankan dan mengebumikannya di sebuah tanah perkuburan.

“Sepanjang itu, hanya RM20 sahaja yang saya keluarkan bagi proses menggali dan mengebumikan mayat bayi lelaki berkenaan.

“Saya tersentuh melihat keadaan pasangan berkenaan yang tidak mampu mengebumikan jenazah anak mereka dan sudah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk membantu,” ujarnya.

Mereka yang ingin membantu operasi gerakan Amal Team boleh melayari akaun FB, Mohd Zulhairi Zainol. - K! ONLINE