Nurul Aida Azira Mohd. Kassim, 19, berkata, tindakan tersebut bertujuan bagi membersihkan namanya dan menangkap pelaku yang mencuri dan membuat suntingan terhadap gambar berkenaan bagi kepentingan sendiri.

Dia yang merupakan pelajar jurusan pentadbiran perniagaan sebuah institusi pengajian tinggi di sini menegaskan, penyuntingan itu merupakan tindakan biadap yang mampu mengakibatkan semangatnya luntur dalam dunia politik di negara ini.

"Saya sudah buat laporan polis di Balai Polis Pandamaran, Klang sekitar pukul 9 pagi tadi (14 April 2018).

"Justeru, saya menyerahkan kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan lanjut mengenainya," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Jelas Nurul Aida, gambar tersebut sebenarnya diambil semasa menjadi model kepada produk tudung sebelum dimuat turun ke laman sosial Instagram pada Januari lalu.

Bagaimanapun, katanya, gambar tersebut  dipadamkan sebulan kemudian dan harian bagaimana pelaku mengambilnya.

Sementara itu, berdasarkan catatan di laman twitternya, @aidaazirx_ mahu pihak yang mencuri gambar peribadi itu tampil memohon maaf kepadanya.

"Sudahlah mencuri gambar orang, kemudian buat poster..nak kempen, kempen sajelah, tak payah letak gambar kononnya suruh orang jangan cari bini mudalah, apalah.

"Sumpah saya tidak halalkan. Kejadian ini membuatkan saya lebih menjadi benci kepada politik," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli mengesahkan menerima laporan tersebut. - K! ONLINE