Menurut beliau, pemprosesan bahan mineral itu menyebabkan air yang digunakan untuk membersihkan bijih bauksit akan dicemari logam berat sebelum mengalir ke sungai.

"Berkenaan dengan isu ini, saya ingin menyatakan kekhuatiran saya dari aspek SOP yang diperkatakan.

"Memproses bijih bauksit akan melibatkan sisa air yang mengandungi logam berat," kata Fuziah menerusi kenyataan kepada media di sini hari ini.

Fuziah berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar semalam yang mengumumkan kegiatan perlombongan bauksit di daerah ini diteruskan bermula April depan dengan syarat perlu mematuhi SOP termasuk membersihkan bijih mineral itu sebelum dieksport.

Sehubungan itu, Fuziah yang memilih untuk bercakap selaku Ahli Parlimen Kuantan menambah, SOP digariskan kerajaan berhubung perlombongan bauksit juga wajar dipamerkan kepada orang awam dengan cara yang telus.

"Kita juga ada masalah penguatkuasaan sebelum ini. Saya mohon semua SOP dipamerkan kepada orang awam dengan cara yang telus.

"Saya masih ingat, (kualiti air) sungai bertukar kepada kelas lima disebabkan kandungan logam berat yang mengalir dari lombong," tambah beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ujar Fuziah lagi, beliau kesal dengan keputusan tersebut dan menyatakan Xavier sewajarnya berbincang dengan orang awam terlebih dahulu mengenai SOP berkenaan.

"Sebab dulu kita tidak buat (syarat) mencuci bijih bauksit. Itu pun sudah menjadi satu bencana alam sekitar, inikan pula nak buat (syarat) mencuci," ujarnya. - K! ONLINE