Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, mesyuarat siri kesembilan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) 2019 secara prinsip bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk Jawatankuasa Kabinet membincangkan fungsi tugas dan tanggungjawab setiausaha politik dengan jelas dalam melaksanakan tugas mereka di kementerian.

"Pada mulanya setiausaha politik dicadangkan supaya membantu menteri untuk menghubungi rakyat dalam kawasannya dan kawasan lain tetapi sekarang ini, kita dapati ada setiausaha politik ketika pentadbiran kerajaan terdahulu terlibat dalam agihan kontrak.

"Ini bukan tugas mereka dan sebab itu kita mahu kembali kepada tanggungjawab setiausaha politik sebagai perantara antara menteri dan rakyat di dalam kawasannya," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan JKKMAR di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Terdahulu, Mahathir melancarkan aplikasi telefon pintar generasi kedua dikenali sebagai Respons Rakyat (RR2.0) yang dibangunkan bagi memudahkan orang awam membuat aduan dan memberi maklum balas kepada 460 agensi kerajaan persekutuan.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar dan Ketua Pengarah Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Mahathir berkata, mesyuarat JKKMAR turut bersetuju untuk mewujudkan format dan gerak kerja bagi membolehkan Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam menjalankan peranannya dalam urusan perlantikan calon-calon ke jawatan penting kerajaan.

Katanya, empat jawatan penting itu ialah Pengerusi dan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

"Kerajaan bersetuju bahawa terdapat jawatan dalam perlembagaan dan akta dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas ini supaya perincian calon yang sesuai dan berwibawa untuk jawatan ini dapat dikemukakan.

"Seperti perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang lalu, saya menggunakan prosedur sedia ada yang telah termaktub di dalam akta," katanya.

Mahathir berkata, turut dipersetujui dalam JKKMAR adalah beberapa syor bagi mengukuhkan kebebasan Jabatan Audit Negara antaranya pindaan Akta Audit 1957 bagi membolehkan kuasa Ketua Audit Negara dalam melaksanakan tindakan.

"Selain itu, mesyuarat juga dimaklumkan bahawa satu Akta Kebebasan Maklumat akan digubal untuk menggantikan Akta Rahsia Rasmi dan tempoh masa yang mencukupi harus diberikan kepada proses gubalan undang-undang ini dengan memfokus kepada sesi libat urus yang mencukupi dengan masyarakat.

"Mesyuarat turut bersetuju dengan lima syor yang dikemukakan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi mengukuhkan amalan tadbir urus korporat dalam pasaran modal untuk mencegah salah laku rasuah dan penipuan. Ini akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Hutang Negara," katanya. - K! ONLINE