Presiden Pakar, Datuk Md. Lutfi Yusof memberitahu, sasaran penyertaan awal hanya seramai 50 orang tetapi jemputan yang hadir lebih daripada 150 orang.

"Ini memang di luar jangkaan. Walaupun kami menetapkan peserta perlu buat pendaftaran awal tetapi ada juga yang datang tanpa membuat tempahan," katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.

Jelasnya, forum itu mendapat perhatian selepas kenyataan salah seorang ahli panel pada majlis tersebut, seorang usahawan, Haryani Ithnen tular di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Dalam perkongsian tersebut, Haryani berkongsi pandangannya sebagai isteri ketiga yang mendapat banyak maklum balas daripada pelbagai pihak.

Selain Haryani, turut menjadi ahli panel ialah penceramah bebas, Nurul Adni Adnan; Peguam Syarie, Sharifah Mohd. Jahaya dan penceramah bebas, Sumaiyah Sulaiman.

Sementara itu, menurut Md. Lutfi forum tersebut diadakan bagi mengetengahkan isu-isu berkenaan poligami secara harmoni.

"Tujuan kita bukan untuk menyuruh orang berpoligami tetapi mahu memurnikan syariat poligami," katanya. - K! ONLINE