Hakim Syarie Abdul Shukor Abd. Wahid memutuskan demikian apabila Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar, 34, selaku responden tidak bersetuju dengan satu daripada tuntutan permohonan interim yang difailkan oleh Mawar selaku pemohon.

"Kalau cerai boleh secara baik, apa salahnya bertolak ansur untuk permohonan ini (tuntutan hak lawatan dan bermalam).

"Saya menggalakkan pihak-pihak ini (Fizo dan Mawar) cari jalan penyelesaian terlebih dahulu secara sukarela atau persetujuan. Sekiranya, tiada jalan penyelesaian maka gunakan mahkamah untuk membuat keputusan," katanya.

Terdahulu dalam prosiding tersebut, Fizo tidak diwakili peguam menegaskan tidak mempertikaikan hak penjagaan anak kepada Mawar namun tidak bersetuju berkaitan hak lawatan dan bermalam terhadap anaknya itu.

"Berdasarkan afidavit permohonan menyatakan kebenaran bermalam hanya diberikan apabila anak berusia empat tahun.

"Saya juga telah menyertakan sebab dan alasan berkaitannya," katanya.

Sementara, Mawar diwakili Peguam Syarie Zulkifli Che Yong menjelaskan notis dan permohonan untuk mendapatkan hak hadanah melalui perintah interim telah diserahkan pada pihak Fizo pada 10 Julai lalu. 

Mahkamah kemudiannya menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh keputusan permohonan interim hadanah itu. 

Sementara itu, Fizo yang ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu percaya akan ada jalan penyelesaian antaranya dan Mawar. 

"Ini bukan pergaduhan cuma sekarang masih dalam perbincangan dan kami hampir jumpa persetujuan dengan esok Sulh (perbincangan) akan diadakan (bersama Mawar tanpa kehadiran peguam). 

"Sebelum cerai pun anak pun banyak kali bermalam dengan saya,"katanya.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan Fizo dan Mawar yang merupakan ahli perniagaan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada 10 Julai lalu. 

Pasangan itu diijabkabulkan pada November 2013 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Wan Maryam berusia setahun enam bulan. - K! ONLINE