Anak syarikat kepada Malaysia Airlines itu, memaklumkan kejayaan tersebut dalam status kemas kini kepada penumpang yang terjejas melalui platform media sosialnya.

"Jika anda tidak menerima itinerari anda, jangan risau kerana ia sedang dihantar," kata Firefly dalam status kemas kini Facebook membabitkan para penumpang Subang-Singapura dan Kuantan-Singapura yang dijadualkan berlepas pada Disember 2018.

Pada 22 November lepas, waktu operasi Pusat Panggilan Firefly telah dilanjutkan sehingga jam 11 malam selepas ia menerima kadar panggilan yang  tinggi berikutan pengumuman syarikat itu mengenai penggantungan penerbangan 'masuk dan keluar' Singapura.

Dalam pengumuman awal, Firefly menjelaskan bahawa ia terpaksa menggantung penerbangan ke Singapura sehingga pihak berkuasa berkaitan menyelesaikan perkara-perkara yang berhubung dengan cadangan pemindahan operasi pesawat berkipas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi ke Lapangan Terbang Seletar.

Menurut Firefly, ia tidak diperuntukkan sebarang garis masa yang muktamad oleh pihak berkuasa mengenai kelewatan pemindahan itu.

Firefly akan menyambung balik penerbangan ke Singapura, sebaik sahaja kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan diselesaikan.

Pada Julai 2018, Lapangan Terbang Seletar yang diuruskan oleh Kumpulan Lapangan Terbang Changi berkata, Firefly akan berpindah ke terminal baharu apabila ia mula beroperasi pada penghujung tahun ini.

Sekarang ini, Firefly mengendalikan 20 penerbangan harian menggunakan pesawat berkipas membabitkan Subang, Ipoh dan Kuantan di Lapangan Terbang Changi. 

Dalam laman webnya, Firefly memberi penjelasan kepada penumpang, tindakan-tindakan yang akan diambil berhubung dengan tempahan tiket mereka.

Untuk laluan Subang-Singapura dan Singapura-Kuantan, syarikat penerbangan itu sedang berusaha bagi menempatkan penumpang terjejas dalam penerbangan Malaysia Airlines tanpa sebarang kos tambahan atau bayaran balik sepenuhnya dalam tempoh 30 hari bekerja.

Laluan Singapura - Ipoh, bayaran balik sepenuhnya akan dibuat dalam tempoh 30 hari bekerja atau penumpang boleh bertukar ke destinasi Firefly yang lain tanpa sebarang kos tambahan.

Firefly bagaimanapun tidak akan membuat apa-apa pampasan untuk sebarang lawatan yang terlepas, sambungan penerbangan dengan syarikat penerbangan lain, pembatalan tempahan hotel atau apa-apa perbelanjaan yang dikeluarkan akibat penggantungan laluan ini. 

"Kita telah melakukan yang terbaik untuk mengurangkan gangguan dengan makluman awal termasuk memberikan senarai opsyen bantuan kepada penumpang terjejas bagi memudahkan mereka membuat persiapan," katanya. - Bernama