Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, perubahan dalaman itu penting terutama melibatkan proses penyaluran dana kerajaan.

"Saya lihat wujud banyak masalah dalam cara dana ini disalurkan dan ada keperluannya kita mengkaji semula seluruh proses saluran dana ini. Jadi, apa yang kita perlukan ialah reformasi lengkap dan menyusun semula kesemua prosedur di sini supaya kita boleh lihat dana yang disalurkan digunakan pada tahap maksimum.

"Saya faham bahawa ada banyak bakat-bakat baru yang mahu menceburi bidang perfileman dan mereka memerlukan bantuan tetapi kita perlu sistem yang memastikan dana yang dikeluarkan itu digunakan untuk tujuan yang betul, tidak ada ketirisan dan bukan hanya pihak tertentu berkuasa menyalurkan dana," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja dan menghadiri sesi taklimat di pejabat Finas di Jalan Utara di sini hari ini.

Katanya, kajian semula proses penyaluran dana itu melibatkan dua peringkat iaitu dana yang disalurkan oleh kerajaan kepada Finas dan dana yang disalurkan Finas kepada pemohon.

Pihaknya akan memanggil semua pihak berkepentingan, persatuan perfileman dan pemohon dana dalam masa tiga minggu lagi untuk mendengar idea yang boleh dipertimbangkan dalam meningkatkan pengurusan penyaluran dana. 

Selain itu, beliau juga tidak menolak untuk mengguna pakai model dan cara pengurusan yang digunakan oleh institusi perfileman di negara lain dalam menyalurkan dana kepada pembikin filem mereka.

Selain Finas, beliau berkata, beberapa agensi lain yang turut memerlukan penstrukturan semula termasuk Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan MYNIC Berhad.

"Untuk jabatan-jabatan lain, saya sudah tengok, tiada masalah besar dan hanya memerlukan sedikit perubahan kecil sahaja," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengesahkan beberapa individu daripada Finas telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merekodkan keterangan berhubung pertikaian penyaluran dana tahun 2017, bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mereka kerana dikhuatiti mengganggu siasatan. -  Bernama