Bagaimanapun, Hans atau nama sebenarnya, Gerald Hans Isaac berkata, dia lebih selesa untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Pengerusi Finas secara senyap tanpa menguar-uarkan sebarang perancangan kepada khalayak.

“Saya lebih selesa menyelesaikan sesuatu pekerjaan terlebih dahulu tanpa memberitahu orang tentang progres kami.

“Biarlah hasil kerja kami yang berbicara kelak,” ujar Hans ketika dihubungi Kosmo! Online di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Hans turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kementerian yang memberi kepercayaan kepada  dirinya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Finas.

“Apabila saya diberikan tawaran untuk meneraju Finas, saya terus terima tanpa berfikir panjang. Hal ini kerana, saya sudah lama terfikir untuk membangunkan industri jika diberikan peluang sebegini.

“Justeru, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kementerian kerana memberi kepercayaan kepada saya,” katanya lagi.

Pelantikan pelakon filem Cuci itu yang berkuat kuasa sejak 8 April lalu diumumkan sendiri oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Gobind berkata, pelantikan Hans berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 bagi menggantikan Datuk Samsuni Mohd Nor yang  menjalankan tugas sebagai pemangku Pengerusi Finas selama lebih empat bulan yang lalu.

Pada 11 Mac lalu, pengarah dan pelakon, Ahmad Idham dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas. - K! ONLINE