Kedutaan Filipina di sini dalam satu kenyataan hari ini berkata, kedutaan tidak akan membiarkan kejadian itu dan menyesali bahawa ia telah menyinggung perasaan rakyat Malaysia.

"Kedutaan mengulangi jaminannya yang benar-benar komited terhadap perkembangan hubungan dua hala yang sangat baik antara Filipina dan Malaysia," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kejadian membakar bendera itu dilakukan oleh seorang individu yang diketahui telah melakukan banyak perkara kontroversi pada masa lalu dan tindakannya tidak mewakili kedudukan rasmi negara Filipina.

Video kontroversi itu disiarkan dalam akaun Facebook 'President Pamatong Supporters' pada 19 dan 21 Januari lepas, memaparkan Elly Pamatong, yang mengaku sebagai pengasas 'United States Allied Freedom Fighters of the East' (USAFFE), membakar bendera Malaysia. - Bernama