One Two Jaga yang ditayangkan pada 6 September tahun lalu itu turut menyaksikan pengarahnya Nam Ron dinobat selaku Pengarah Terbaik, manakala pelakon Dr. Rosdeen Suboh membawa pulang kategori Pelakon Lelaki Terbaik.

Filem terbitan Pixel Play Entertainment itu turut menggondol tiga lagi kategori iaitu Poster Terbaik (Jazzy Pictures), Cerita Asal Terbaik (Pitt Haniff, Muhammad Syafiq dan Nam Ron) dan Lakon Layar Terbaik (Amri Rohayat, Fared Ayam dan Nam Ron).

Sementara itu, aktres Datin Seri Umie Aida diangkat selaku pemenang bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Dukun arahan sutradara Dain Said.

Malah filem Dukun juga turut memenangi tiga kategori lain iaitu Rekaan Kostum/Busana Terbaik (Andy Sulaiman), Kesan Khas Terbaik (Pixelpost) dan Penyunting Terbaik (Raja Affandi Raja Jamaludin).

Filem bahasa Mandarin, Guang pula menggondol empat kategori iaitu Penataan Seni Terbaik (Chan Hsien Yu), Sinematografi Terbaik (Yeong Tuck Wei), Pelakon Lelaki Harapan (Kyo Chen) dan Pengarah Harapan (Quek Shio Chuan).

Sementara itu, aktor Hasnul Rahmat dan Nabila Huda masing-masing memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik menerusi filem Makrifat Cinta dan Polis Evo 2.

Dalam pada itu, penulis lirik tersohor Habsah Hassan menerima anugerah Penggiat Belakang Tabir, manakala aktor veteran A.R Badul dianugerahkan Karyawan Sepanjang Zaman.

Filem Munafik 2 arahan pengarah Syamsul Yusof yang mengutip sebanyak RM48 juta kutipan pula menerima anugerah Filem Box Office.

Sebanyak 42 buah filem tempatan dipertandingkan bagi merebut trofi Filem Terbaik FFM30 antaranya Pulang, Polis Evo 2, KL Special Force, Munafik 2, Paskal The Movie, Dukun, Hantu Kak Limah, Tombirou: Penunggu Rimba, Think Big Big, Aasaan dan Pinjamkan Hatiku.

Malam kemuncak FFM30 dikendalikan oleh pengacara Nabil Ahmad dan Adibah Noor.

Majlis itu turut dihadiri oleh barisan tetamu kehormat iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Samsuni Mohd. Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri. - K! ONLINE

 

Senarai pemenang FFM30:

1. Filem Box Office: Munafik 2
2. Poster Terbaik: Jazzy Pictures - One Two Jaga
3. Rekaan Kostum/Busana Terbaik: Andy Sulaiman - Dukun
4. Kesan Khas Terbaik: Pixelpost - Dukun
5. Penataan Bunyi Terbaik: Imaginex Studio Sdn. Bhd. - Pulang
6. Penyunting Terbaik: Raja Affandi Raja Jamaludin - Dukun
7. Penataan Seni Terbaik: Chan Hsien Yu - Guang
8. Skor Muzik Asal Terbaik: Nick Davis - Two Sisters
9. Lagu Tema Terbaik: Monoloque - Atma Jiwa (Filem Busker)
10. Pelakon Wanita Harapan: Jaya Ganason - The Farm: En Veettu Thottahil
11. Pelakon Lelaki Harapan: Kyo Chen - Guang
12. Sinematografi Terbaik:  Yeong Tuck Wei - Guang
13. Pengarah Harapan: Quek Shio Chuan - Guang
14. Pelakon Kanak-kanak Terbaik: Eng Wei Jie - Rise Of The Legend: Lee Chong Wei
15. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Nabila Huda - Makrifat Cinta
16. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Hasnul Rahmat - Polis Evo 2
17. Anugerah Khas Juri 1: Asia Tropical Sdn. Bhd. - Paskal The Movie
18. Anugerah Khas Juri 2: Vedu Production - Vedigundu Passanggae
19. Anugerah Khas Juri 3: Astro Shaw Sdn. Bhd. - Busker
20. Penggiat Belakang Tabir: Habsah Hassan
21. Karyawan Sepanjang Zaman: A.R Badol
22. Cerita Asal Terbaik: Pitt Haniff, Muhammad Syafiq & Nam Ron - One Two Jaga
23. Lakon Layar Terbaik: Amri Rohayat, Fared Ayam & Nam Ron - One Two Jaga
24. Pelakon Wanita Terbaik: Datin Seri Umie Aida - Dukun
25. Pelakon Lelaki Terbaik: Dr. Rosdeen Suboh - One Two Jaga
26. Pengarah Terbaik: Nam Ron
27. Filem Terbaik: One Two Jaga