Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd. Noor berkata, berdasarkan jadual pasang surut air laut, paras tertinggi hari ini dijangka berlaku pada pukul 6.25 pagi setinggi 5.4 meter.

"Hasil pemantauan agensi keselamatan dilaporkan tiada limpahan air yang dikesan di persisiran pantai dan kawasan berisiko," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya, keadaan ban (benteng) laut masih kukuh dan dalam keadaan baik.

"Setakat ini tiada pusat pemindahan sementara dibuka. 

"Bagaimanapun, penduduk di kawasan berisiko diminta bersedia dan mematuhi arahan pihak keselamatan termasuk berpindah jika diarahkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Alhafiz Asmuni berkata, pemantauan di lokasi berisiko di bawah jagaan balai itu mendapati keadaan adalah terkawal.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai dengan sebuah jentera FRT melakukan rondaan dan pemantauan sekitar kawasan Jeram dan Pantai Remis pada pukul 6 pagi tadi mendapati tiada berlaku limpahan air laut.

"Kami akan terus melakukan pemantauan di lokasi terlibat dari semasa ke semasa sepanjang tempoh tiga hari ini," katanya.

Paras air laut sepanjang tempoh kejadian fenomena air pasang besar yang bermula hari ini sehingga Rabu dijangka berada paras tertinggi iaitu antara 5.1 hingga 5.4 meter dan keadaan ini boleh menyebabkan limpahan air laut sehingga menyebabkan banjir di kawasan berisiko. - K! ONLINE