Presiden kelab, Anuar Malek berkata, gaji bulan September telah dibayar kepada semua pemain dan pegawai terlibat kelmarin.

"Pihak kami tidak pernah berdiam diri dalam isu tunggakan gaji selama tiga bulan iaitu September hingga November tahun lalu malah langkah penyelesaian telah diambil.

"Akhirnya kita berjaya mendapatkan dana untuk membayar gaji bulan September dahulu dan baki dua bulan lagi akan cuba diselesaikan dalam masa terdekat," katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Menurutnya, bayaran tunggakan sebulan gaji itu menunjukkan komitmen pihak pengurusan dalam usaha menjaga kebajikan pemain dan pegawai.

"Masalah yang melanda Felda United berlaku tanpa dirancang menyebabkan kita perlu mendapatkan pandangan banyak pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL)," ujarnya.

Beliau yang mengambil alih tugas sebagai presiden pada 4 Januari lalu menggantikan Datuk Ab. Ghani Mohd. Ali akan terus memperjuangkan hak pemain dan pegawai.

Anuar memberitahu, beliau telah membuat perancangan agar masalah kewangan tidak berlaku lagi pada masa depan.

"Isu kewangan ini boleh mengganggu fokus pemain serta pegawai di atas padang jadi kita harap musim ini tidak dibelenggu dengan masalah dalaman," jelasnya. - K! ONLINE