"Kami telah memulakan proses penjualan aset tidak strategik di dalam dan di luar negara dan proses ini akan berjalan mungkin sehingga pertengahan atau akhir tahun depan.

"Diharapkan harga yang kami dapat hasil daripada penjualan aset-aset tersebut dapat menampung liabiliti kami dan juga untuk mengurangkan masalah peneroka yang pada masa ini sangat susah disebabkan harga sawit yang rendah," katanya kepada pemberita di luar majlis konvokesyen Kolej Yayasan Felda di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, organisasi itu telah menerima pertanyaan daripada pembeli yang berminat untuk membeli aset tersebut tetapi tidak bersedia untuk mendedahkan lebih banyak maklumat berikutan semua perjanjian jual beli perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan.

"Kami mengikut tadbir urus yang baik untuk memastikan kami memberi peluang yang sama kepada mereka yang berminat. Sesiapa yang berminat perlu masuk tender (bagi) apa-apa aset yang mereka mahu," katanya.

Pada September, Felda mengumumkan penjualan asetnya, termasuk hotel, pangsapuri dan asrama pelajar berjumlah kira-kira RM2.2 bilion, yang dijangka membantu mengurangkan hutangnya kepada RM6.5 bilion pada akhir tahun daripada hutang sebanyak RM8.05 bilion dicatatkan sehingga 30 Jun.

Megat Zaharuddin berkata, dengan pelaksanaan ini, agensi kerajaan itu berada di landasan untuk mencatat keuntungan dan dapat memulihkan organisasi dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun akan datang. - Bernama