Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, selain laporan polis yang dibuat pada 12 Disember lepas, tindakan lain yang diambil adalah dengan mendaftarkan kaveat ke atas tanah tersebut, membatalkan surat kuasa wakil penuh yang dikeluarkan dan mengambil tindakan sivil terhadap pihak yang terlibat.

Beliau berkata, Unit Kawal Selia Jabatan Perdana Menteri akan melantik juruaudit bebas bagi memulakan siasatan dalaman berhubung keseluruhan isu itu.

"Kita jangkakan siasatan akan dimulakan seawal Januari depan," katanya dalam sidang berita tergempar di ibu pejabat Felda hari ini, yang turut di hadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan dan Pembangunan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

Sidang berita itu diadakan berikutan pendedahan media yang melaporkan Felda berisiko kehilangan hak terhadap tanah itu yang terletak di kawasan strategik Jalan Semarak susulan urusan pindah milik tanah yang dicurigai. - Bernama