Menurut pemilik nama Nur Fazura Sharifuddin,35, bagi majlis pertama iaitu pada 25 Februari ini, ia hanya untuk famili dan bakal diadakan secara tertutup.

“Saya perlu menghormati permintaan keluarga yang mementingkan privasi jadi untuk resepsi pertama saya dahulukan keluarga dan sahabat rapat.

“Insya-Allah untuk peminat pula, kami akan membuat satu lagi majlis pada 11 Mac akan datang,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan Janji Zehan Lahzeye Bi Payan di GSC The Gardens,semalam.

Tambah pelakon Manisnya Cinta Di Cappadocia itu, setakat ini persiapan majlis berjalan lancar dan mengikut perancangan.

“Konsep majlis resepsi mungkin akan lebih kepada suasana fantasi atau fairytale dan saya teringin mahu melakukan tarian poco-poco bersama seluruh ahli keluarga,”tambahnya lagi.

Mereka melangsungkan pernikahan secara tertutup pada 27 November tahun lalu di sebuah hotel selepas empat hari pulang dari mengerjakan umrah bersama-sama. 

Keberangkatan Fattah dan Fazura ke Tanah Suci Mekah pada 15 hingga 23 November 2017 telah menimbulkan banyak spekulasi apabila ada yang mendakwa pasangan itu telah pun mendirikan rumah tangga sebelum itu. 

Bagaimanapun, sejurus tiba di tanah air, mereka menamatkan teka-teki itu apabila mengakui telah mengikat tali pertunangan pada 13 November. 

Pasangan sensasi itu mula dikaitkan bercinta selepas masing-masing terlibat dalam drama Hero Seorang Cinderella pada tahun lalu. - K! ONLINE