Farid atau Farid Kamil Zahari, 36, turut meluahkan rasa syukur setelah dibebaskan daripada tahanan reman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung empat kes jenayah termasuk menampar anggota polis di Balai Polis Kota Damansara, 11 Januari lalu.

Selepas dibebaskan dengan ikat jamin pada 16 Januari lalu, Farid membuat penampilan sulung di kaca televisyen dengan menggayakan potongan rambut pendek ketika menghadir ke program MeleTOP yang dihoskan oleh pelakon popular, Erra Fazira dan Datuk Awie.

"Saya masih dapat hadiri ke program MeleTOP pada hari ini. Saya bersyukur," katanya yang muncul sebagai artis undangan dalam program MeleTOP di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Farid memberitahu sepanjang tempoh tahanan reman, dia berpeluang mengenali dirinya sendiri sekali gus menimba pengalaman yang bermakna dalam hidupnya.

"Saya berasa bersyukur dan berterima kasih kepada ahli keluarga, peminat dan rakan artis yang banyak memberikan sokongan secara tidak langsung memberi kekuatan untuk mengharungi dugaan ini," kata pelakon filem I'm Not Single itu.

Farid telah hadir bersama pelakon Nelydia Senrose dan Iman Syah ke acara tersebut bagi mempromosikan drama lakonan mereka berjudul Lafazkan Khalimah Cintamu. - K! ONLINE