Perkara berkenaan didedahkan oleh Farid dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail pada 31 Januari lalu.

Menurut sebuah portal, dalam laporan itu, pelakon filem Lagenda Budak Setan tersebut mendakwa tiga rakan artis bertanggungjawab memberikannya dadah sehari sebelum kejadian itu berlaku sehingga menyebabkan dia hilang kewarasan dan bertindak keterlaluan.

Ketiga-tiga rakan artis tersebut termasuk seorang pelakon dan pengarah, penyanyi yang pernah terkenal dengan genre R&B pada era 1990-an dan seorang lagi pelakon yang tidak didedahkan identitinya.

Tambah laporan itu lagi, Farid turut mendakwa ketiga-tiga rakannya itu memberikan rokok bersalut sejenis cecair sehingga membuatkan dia berasa khayal.

Malah, Farid, 37, turut menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap layanan daripada pihak polis ketika dalam tahanan sehingga mengalami kecederaan dan telah menamakan pegawai polis yang terlibat.

Selain itu, suami kepada pelakon Datin Diana Danielle itu turut mempersoalkan gambar penahanannya yang menjadi tular di media sosial. - K! ONLINE