Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pemimpin politik yang berusia 37 tahun itu hadir pada pukul 10 pagi tadi untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis bagi melengkapkan siasatan.

“Proses siasatan telah dijalankan terhadap suspek dan hasil ujian saringan awal air kencing yang dilakukan terhadapnya adalah negatif daripada sebarang jenis dadah.

“Suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 5 petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, kes tersebut telah dirujuk kepada pihak Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan selanjutnya.

Kosmo! semalam melaporkan kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bahawa polis masih mengesan Farhash bagi membantu siasatan kes merusuh tersebut.

Walaupun pengadu sudah menarik semula laporan polis, tetapi siasatan tetap diteruskan. 

Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, salah seorang daripada sekumpulan antara 12 hingga 14 lelaki dipercayai menolak muka mangsa berusia 29 tahun yang sedang menguruskan perlawanan tinju Muay Thai anak didiknya.

Susulan kejadian itu, pe­ngurusan kompleks sukan terbabit meminta mangsa dan suspek beredar dari kawasan tersebut.

Mangsa kemudian di­serang sekali lagi sekumpulan 10 lelaki yang bersen­jatakan pisau, topi keledar dan kerusi. - K! ONLINE