Menurut Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor, Abdul Ghariff Ramin, gerai jualan tersebut akan dibuka selama sebulan sempena musim haji tahun ini.

"Kita akan mengadakan pesta jualan durian untuk memberi peluang kepada orang ramai mendapat durian Musang King yang kini sudah turun harga kepada RM30 sekilogram. Sebelum ini Musang King pernah mencecah RM100 sekilogram.

"Buat julung kali pada 21 Julai ini kita akan membuka gerai durian di tapak Kompleks Tabung Haji KLIA untuk memberi peluang kepada orang ramai yang menghantar ahli keluarga menunaikan haji menikmati pelbagai jenis durian termasuk Musang King," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri Usahawan Pasar Tani di perkarangan Stadium Malawati di sini hari ini.

Abdul Ghariff berkata, selain daripada Kompleks Tabung Haji KLIA pihaknya juga akan membuka pusat jualan durian tujuh lokasi lain antaranya di SACC Mall Shah Alam, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Plaza Masalam dan tapak pasar tani Puchong.

Jelasnya lagi, durian kampung dari Selangor, Perak dan Pahang yang berkualiti akan turut dipasarkan sepanjang program selama sebulan di semua lokasi terlibat.

"Kita mengalu-alukan orang ramai untuk membeli buah durian Musang King dan lain-lain yang akan mencapai kemuncak gugur bulan ini di lokasi terbabit.

"Paling menarik kita sedia menerima kembali seandainya buah durian yang kami pasarkan rosak atau keras di dalam. Kita hanya mahu memberikan yang terbaik untuk para pembeli," katanya. - K! ONLINE