Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak berkata, pendekatan holistik itu perlu bagi mengatasi masalah lambakan yang berlaku melibatkan ikon negeri Perlis itu seperti Ramadan tahun lalu.

"Pokok mempelam harumanis dijangka akan mula mengeluarkan buah secara besar-besaran pada bulan Ramadan bermula 2017 hingga 2021, jadi satu pendekatan holistik perlu dilakukan bagi mengatasi masalah lambakan buah ini secara menyeluruh.

"Aspek terbaharu yang digerakkan FAMA ialah kempen dan promosi melalui saluran televisyen.

"Kita menggalakkan rakyat negara berbuka puasa dengan makan mempelam harumanis sebagai pembuka selera," katanya kepada media dalam Program Pelancaran Program Jimat Belanja Dapur (JBD) AgroBazaar Rakyat 1 Malaysia (ABR1M) Peringkat Negeri Perlis di ABR1M Kampung Titi Tinggi Ulu di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Ahmad Bakri Ali.

Program JBD menawarkan potongan harga lima hingga 20 peratus barangan keperluan harian konsumer berbanding harga semasa.

Cili merah, halia tua, tomato, ayam daging dan minyak masak merupakan antara 27 jenis barangan yang mendapat potongan harga itu. - K! ONLINE