Ia berikutan insiden tindakan kurang bersopan penyokong tuan rumah yang membaling batu dan melakukan kekecohan pada aksi Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Indonesia dan Malaysia, sehingga menyebabkan tiga penyokong Malaysia cedera.

Skuad Harimau Malaya yang dua kali bangkit menewaskan skuad Garuda 3-2 pada perlawanan itu, terpaksa pulang ke hotel penginapan menaiki kereta kebal barracuda angkara penyokong yang tidak puas dengan keputusan itu.

FAM yang diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam dan Ketua Unit Perundangan FAM, Shahida Bashirah Hishamuddin telah bertemu wakil AFC di ibu pejabat badan pentadbir bola sepak Asia itu di AFC House, Bukit Jalil, semalam.

Menurut catatan di Facebook FAM, pihak AFC juga telah mengesahkan bahawa laporan oleh Pegawai Komisioner Perlawanan FIFA dan Pegawai Keselamatan FIFA perlawanan tersebut telah dihantar ke FIFA untuk penilaian dan tindakan mereka.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Keselamatan dan Sekuriti Stadium AFC, Brian Johnson, Pengurus Keselamatan dan Sekuriti Stadia, Shahin Rahmani dan Pengurus Acara Bola Sepak Unit Pertandingan dan Bahagian Acara Bola Sepak, Deng Xiaolong, kata FAM.

"Seterusnya, FAM turut mendapatkan nasihat daripada AFC untuk membantu menyediakan pelan keselamatan yang komprehensif menjelang pertemuan kedua antara Malaysia dan Indonesia pada 19 Nov nanti di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk mengelakkan insiden pada 5 Sept berulang," kata FAM.

Stuart juga bertemu dengan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John dalam pertemuan berasingan semalam untuk menyuarakan kebimbangannya terhadap insiden yang berlaku.
Skuad Harimau Malaya, di bawah kendalian Tan Cheng Hoe akan meneruskan kempen kelayakan itu menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional pada Selasa ini. - Bernama