Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kulim-Bandar Baharu Mohd Idrus Amir berkata, ini kerana apabila arus air mengalir deras dan kapasiti air yang melalui jambatan tersebut meningkat, ia menyebabkan saluran air sedia ada tidak dapat menampung lebihan air yang melalui sehingga menyebabkan mendapan.

"Apabila situasi itu berlaku, ia menyebabkan air bergerak ke belakang dan menghakis sedikit demi sedikit tanah yang berada di bawah jambatan sehingga berlakunya runtuhan.

"Keadaan ini ditambah pula dengan hujan lebat sehingga aras air Sungai Serdang di bahagian hulu meningkat dan melalui kawasan ini, menyebabkan tekanan yang kuat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mohd Idrus berpendapat sekiranya jambatan yang berusia hampir 30 tahun itu dilebarkan sedikit, keadaan tidak mungkin seteruk itu, malah ia turut akan membolehkan masalah banjir kilat di beberapa kampung berdekatan dapat dikurangkan. 

Mayat salah seorang mangsa yang ditemui dalam runtuhan tersebut. - Foto media sosial
Mayat salah seorang mangsa yang ditemui dalam runtuhan tersebut. - Foto media sosial

Dalam kejadian pada 10.15 malam tadi, Muhammad Haikal Hakimi Mohd Noor dan Mohamad Haziq Ishak, kedua-duanya berusia 17 tahun, maut apabila tertimbus dalam kejadian runtuhan jambatan berdekatan Taman Serdang di Serdang.

Sementara itu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sudah mengarahkan JPS untuk turut sama membuat pemantauan di jambatan di seluruh daerah yang berpotensi runtuh bagi mengelak tragedi sama daripada berulang.

Katanya, insiden yang berlaku semalam tidak dijangka kerana tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa hakisan dan runtuhan akan berlaku.

Menurutnya, dari aspek keselamatan, beliau telah berbincang dengan Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Barudin Wariso agar kawasan itu dikawal rapi bagi memastikan tidak ada orang awam yang mendekati lokasi kejadian kerana dikhuatiri akan berlaku runtuhan kecil.

"Kira-kira 1,000 rumah berada di kawasan ini namun buat masa sekarang kita ada laluan alternatif yang boleh digunakan penduduk untuk ke Pekan Serdang namun jaraknya agak jauh sedikit.

"Kita juga akan pastikan bahawa langkah segerakan pembinaan pembaikan semula dibuat bagi keselesaan penduduk," katanya. - Bernama