Faizal, 50, yang membawa watak Karim selaku peguam kepada Diana Dahlan (Datin Paduka Umie Aida) berkata, ada hikmahnya tarikh tayangan Dukun ditarik balik pada tahun 2007 kerana masyarakat filem pada zaman sekarang mempunyai pemikiran yang lebih terbuka terhadap jalan cerita seperti itu.

“Saya berasa sangat bersyukur kerana Dukun akhirnya akan ditayangkan kepada peminat bermula 5 April ini selepas 12 tahun ia menjadi simpanan sahaja. Selaku antara pelakon yang menjayakan filem paling dinanti arahan Dain Said ini, pelepasan tayangan menjadi bukti keikhlasan kami sewaktu menjalani penggambaran filem ini.

“Dukun memiliki jalan cerita menarik dan pengarah yang bagus jadi saya tahu ia mampu mencipta kutipan besar di pawagam. Ditambah pula dengan kejadian sebahagian filem ini bocor di Internet, pasti ramai akan datang untuk menyaksikan kesudahan filem ini nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Sementara itu, pihak penerbitan Astro Shaw meminta agar segala persoalan berkenaan Dukun dijawab sewaktu sesi tayangan eksklusif filem tersebut yang bakal berlangsung pada hari Rabu ini.

Terdahulu, Astro Shaw tepat pada pukul 12 tengah malam Ahad secara rasminya melancarkan trailer Dukun: Akhirnya Kita Bertemu di semua platform media sosial sekaligus menjawab teka-teki penayangan filem tersebut.

Ia juga memberi jawapan kepada isu perempuan berkebaya merah yang menjadi tular di laman sosial minggu lalu sebagai antara gimik kepada filem Dukun yang turut dibintangi oleh Bront Palarae, Nam Ron, Elyana, Soffi Jikan, Adlin Aman Ramlie dan Hasnol Rahmat. - K! ONLINE