Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kluang Penolong Kanan Penguasa Bomba Akob Sidek berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran lokomotif  'Megat Terawih 24125'  Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu pada 8.21 malam.

"Tiga jentera bersama seorang pegawai dan 11 anggota digegaskan memadam kebakaran. Api dapat dikawal pada 8.54 malam tadi sebelum operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada 9.37 malam," katanya semasa dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kebakaran itu memusnahkan 50 peratus daripada bahagian enjin lokomotif kereta api itu dan punca kebakaran sedang disiasat.

Menurutnya kebakaran itu tidak menyebabkan kecederaan kepada penumpang dan kakitangan KTMB kerana hanya membabitkan bahagian enjin dan tidak merebak ke bahagian gerabak lain. - Bernama