Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Jenayah George Town Muna Maria Azmi bermula hari ini hingga Ahad, selepas membenarkan permohonan reman yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada prosiding itu Muna memerintahkan pegawai kanan JPJ Perlis itu, dua orang agen insurans dan kerani insurans sebuah syarikat swasta serta seorang penolong penguasa JPJ Perak direman selama lima hari.

Muna turut memerintahkan seorang lagi kerani kewangan di sebuah ibu pejabat polis di negeri ini ditahan reman selama empat hari.

Menurut sumber SPRM, Timbalan Pengarah JPJ di negeri utara serta seorang agen insurans dan kerani syarikat insurans itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam rasuah untuk memudahkan urusan agen insurans tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya.

Sementara itu mengikut sumber SPRM juga, penolong penguasa serta seorang lagi agen insurans syarikat sama ditahan berikutan disyaki terlibat dalam urusan rasuah melibatkan pengeluaran lesen memandu tanpa melalui  prosedur yang sepatutnya manakala kerani kewangan itu dipercayai menerima suapan daripada orang awam sebagai balasan bagi menutup saman-saman yang dikenakan kepada pemilik kenderaan.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009. 

Difahamkan kesemua indivividu berkenaan ditahan semalam di lokasi berasingan dalam operasi Ops Tutup. - Bernama