Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut sekitar pukul 3.04 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan penyelamat segera melakukan penilaian dan memulakan pendakian sebelum menemui ke semua mangsa setelah kira-kira 30 minit mendaki.

"Kesemua mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan di tingkat satu bukit terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Difahamkan, seramai sembilan pegawai dan anggota berserta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih dikerahkan ke lokasi kejadian. 

Menurut Alimaddia mangsa yang terlibat adalah Affies Zulkipli, 42, Issa Zulkipli, 33, Muhammad Khairi Amran, 26, Muhammad Izzat Zainal, 25, Muhammad Harris Hamdani, 24, dan Afique Hamani Affies, 12.

"Kesemua mereka yang berasal dari Taman Kajang Utama itu kemudiannya dibantu untuk turun ke kaki bukit oleh pasukan penyelamat.

"Sebaik tiba di kaki bukit, kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," ujar beliau. - K! ONLINE