Kebakaran itu tercetus petang semalam di sebuah bangunan satu tingkat, menurut kenyataan perkhidmatan kecemasan Ukraine.

“Enam orang maut manakala empat lagi dimasukkan ke hospital,” kata kenyataan itu. Sembilan lagi mangsa tidak mengalami kecederaan.

Fasiliti tersebut menyediakan perkhidmatan bagi merawat kesihatan mental veteran perang Soviet Union bagi peperangan di Afghanistan sekitar tahun 1980-an dan Perang Dunia Kedua.

Pihak polis dan perkhidmatan kecemasan tidak mendedahkan sama ada kebakaran itu dilakukan secara sengaja atau tidak tetapi berkata ia tidak berpunca dari dalam bangunan tersebut.

Paramedik terus melakukan pencarian di hospital berkenaan selepas kebakaran berjaya dipadam bagi mengesan sekiranya ada pesakit yang tertinggal, demikian lapor wartawan AFP.

Mayat-mayat diletakkan tertutup di atas tanah di luar bangunan bata berkenaan.

Seramai 57 ahli bomba dari 12 jentera bomba memadamkan kebakaran tersebut, lapor perkhidmatan kecemasan.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, dia berasa kesal dengan tragedi teruk berkenaan dan telah mengarahkan Perdana Menteri, Volodymyr Groysman untuk memujudkan jawatankuasa untuk menyiasat insiden itu.

“Punca (kebakaran) akan ditentukan. Saya mengucapkan takziah kepada semua mangsa yang terlibat,” katanya menerusi laman Twitter.

Kebakaran maut sering berlaku di Ukraine dan bekas negara-negara republik Soviet ekoran infrastruktur yang ketinggalan zaman dan kurangnya langkah keselamatan. - AFP