Dalam kemalangan pada pukul 4.30 petang itu, tiga sekeluarga iaitu Mohd. Nizam Suhaidin, 34, bersama isteri, Nurhafizah Ismail, 34, dan anak lelaki mereka, Mohd. Afiq, 6, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Sementara itu, anak bongsu pasangan tersebut, Nur Hanania Maisara, 2, yang duduk di tempat duduk belakang bersama Mohd. Afiq cedera.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, nahas tersebut turut menyebabkan pemandu treler, Redzuan Abd. Ghani, 59, maut di lokasi kejadian.

Jelasnya, siasatan awal mendapati treler yang membawa muatan kayu balak dipandu Redzuan sedang dalam perjalanan dari arah Jeli ke Gerik, manakala kereta jenis Proton Saga FLX yang dinaiki empat sekeluarga itu dari arah bertentangan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian yang merupakan laluan selekoh, treler yang dipandu mangsa berasal dari Jerteh, Terengganu dipercayai hilang kawalan.

“Insiden itu menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum terbabas dan berpusing lalu masuk ke laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Ismail, keadaan tersebut mengakibatkan treler dan kereta yang dinaiki tiga sekeluarga itu bertembung.

Jelasnya, keempat-empat mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Hospital Gerik untuk dibedah siasat.

Tambahnya, Nur Hanania Maisara yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE