Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, Ahmad Awang, 56, dan isterinya, Hayati Mohd. Zain, 57, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian badan. 

Turut maut adalah Khmisah Saleh, 87, dan Norriyah, 61, yang merupakan ibu dan kakak kepada Hayati. 

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md. Asri A. Wahab berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian kesemua mangsa dalam perjalanan ke Teluk Intan dari Klang. 

Katanya, kereta yang dipandu Ahmad yang merupakan pengawal keselamatan kemudiannya hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Kereta tersebut seterusnya terhumban ke dalam parit dengan kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit.

"Mayat empat sekeluarga itu kemudiannya dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk dibedah siasat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE