Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, mereka melibatkan dua lelaki warga tempatan iaitu Tham Yook Kun, 50, dan Ng Wah Hoong, 38.

Katanya, dua lagi saksi merupakan wanita warga Indonesia iaitu Raisa Rinda Salma, 24, dan Dessy Meyrisinta, 33.

"Keempat-empat saksi ini telah gagal dikesan sehingga kini dengan semakan di Jabatan Imigresen mendapati mereka masih berada di negara ini.

"Mereka amat diperlukan bagi tujuan perbicaraan tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, sepanjang perbicaraan yang dilakukan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Azmi Ariffin sebelum ini telah memanggil sebanyak 36 saksi pendakwaan.

Tambah Fadzil, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan pada 16 Ogos tahun lalu.

"Sebanyak lima sesi perbicaraan telah ditetapkan pada tahun ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam iaitu selama 18 hari bermula 28 Januari ini hingga 9 April depan.

"Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Asisten Superitenden Wan Azirul Nizam Che Wan di talian 019-4811844," jelasnya.

Dalam kes pembunuhan Jong-nam itu, dua wanita iaitu warga Indonesia, Siti Aisyah, 26, dan Doan Thi Huong, 29, dari Vietnam telah didakwa bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas atas tuduhan membunuh Jong-nam, 45, di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari 2017.

Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kes pembunuhan Jong-nam mendapat perhatian media antarabangsa selepas beliau dibunuh dengan licik menggunakan agen saraf VX ketika berada di KLIA2 untuk penerbangan ke Macau selepas tiba di Malaysia.

Pembunuhan itu juga mencetuskan perbalahan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara yang menyaksikan kedua-dua negara melarang warga negara masing-masing meninggalkan Malaysia dan Korea Utara dan mengundurkan duta masing-masing. - K! ONLINE