Kesemua suspek termasuk seorang wanita berusia 20 hingga 30 tahun itu ditahan di Rawang dan daerah ini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, berdasarkan modus operandi kumpulan ini menggunakan 'vest' dan topi berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengaburi mangsa. 

Katanya, suspek akan terus menggari sasaran mereka sebaik memperkenalkan diri sebagai polis sebelum merampas barang berharga daripada mangsa. 

"Jenayah terakhir dilakukan mereka adalah di kawasan pejalan kaki Transit Aliran Massa (MRT) Surian Kota Damansara pada pukul 5.30 petang semalam sebelum meninggalkan mangsa di Petronas Sri Gombak.

"Sebaik laporan diterima, sepasukan anggota dari bahagian siasatan khas Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Kontinjen Selangor kemudianya telah berjaya menangkap seorang lelaki tempatan di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya besar di Rawang, pada pukul 8.45 malam hari sama," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, soal-siasat terhadap suspek itu membawa kepada penahanan tiga lagi individu termasuk seorang wanita di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 di sini pukul 12.30 tengah malam tadi. 

Fadzil menambah, polis juga berjaya merampas peralatan jenayah digunakan mereka seperti vest, dua bilah parang, sepucuk pistol angin jenis .38 dan sebuah gari. 

"Turut berjaya dirampas adalah 190 bungkusan mengandungi batu permata pelbagai jenis RM100,000 yang disamun daripada seorang warga seorang warga India di stesen keretapi di Brickfields, Kuala Lumpur pada 5 April lalu.

"Hasil siasatan mendapati kesemua suspek terlibat dalam sembilan kes samun di Selangor, Kuala Lumpur (5) dan Perak (2)," katanya. 

Jelas beliau, semakan rekod mendapati tiga daripada suspek mempunyai pelbagai jenayah lampau berkaitan dadah, jenayah dan cubaan bunuh.

"Mereka kini direman selama tujuh hari bermula hari ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan 170 kanun sama," katanya. - K! ONLINE