Beliau berkata, menteri-menteri dari negara berkenaan memberikan jaminan bahawa mereka tidak akan menyokong sebarang diskriminasi terhadap minyak sawit.

"Saya yakin ke atas negara-negara ini. Semasa bercakap dengan menteri mereka pada perbincangan, mereka berkata tidak akan menyokong sebarang diskriminasi terhadap minyak sawit dan saya pasti mereka akan berpegang kepada keputusan itu pada sesi pengundian akhir,” katanya kepada pemberita pada Persidangan dan Pameran Tahunan Minyak Sawit dan Minyak Laurik 2018 (POC 2018) di sini hari ini.

Siew Keong berkata, walaupun Parlimen Eropah sudah mengundi pada Januari lepas, ia masih perlu berbincang dengan Majlis Menteri dalam tiga mesyuarat, pertama berlangsung pada 7 Februari lalu, diikuti satu lagi pada April dan terakhir pada Mei depan.

Beliau berkata, isu minyak sawit di EU mesti dtangani sebelum perjanjian perdagangan bebas dimuktamadkan.

"Eropah ialah peneraju dalam perdagangan bebas dan diskriminasi ke atas minyak sawit bertentangan dengan prinsip itu,” katanya.

Siew Keong berkata, beliau sudah berbincang dengan rakan sejawatannya dari enam negara semasa lawatan kerja ke Eropah baru-baru ini dan berpuas hari terhadap pendirian mereka berhubung minyak sawit.

"Fakta mengenai minyak sawit yang mereka ada diputar-belitkan memandangkan Malaysia mementingkan kelestarian serta melindungi alam  sekitar.

"Satu lagi salah tanggapan ialah kelapa sawit di Malaysia diusahakan oleh syarikat besar, sedangkan yang sebenarnya 40 peratus penanam sawit atau kira-kira 50,000 individu terdiri daripada pekebun kecil yang bergantung kepada pendapatan daripada minyak sawit,” katanya. - Bernama