Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kesemua mereka berusia 20 hingga 25 tahun itu ditangkap di sekitar daerah ini dan Klang. 

Katanya, mereka kini direman selama tujuh hari bermula hari ini. 

"Kita juga sedang mengesan seorang saksi bernama M. D. Ozziram atau dikenali Ozi, 25, yang beralamat terakhir di Taman Karupiah, Padang Jawa di Klang di sini," katanya dalam kenyataan sebentar tadi. 

Justeru, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan, K. Vignesh Kumar di talian 03-55202222 atau mana-mana balai bolis berhampiran. 

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang bekas calon Ahli Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) daerah ini maut selepas ditetak dengan parang oleh tiga lelaki dalam kejadian di tingkat bawah Pangsapuri Nilam Sari, Jalan Plumbum, Seksyen 7 di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pukul 5 petang itu, M. Thiyahu, 30, yang merupakan operator kilang parah pada bahagian muka, kepala, tangan kanan dan kaki disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Shah Alam (HSA). - K! ONLINE