Namun, belum ada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa, tetapi bekas gabenor Chiang Rai Narongsak Ossothanakorn yang mengetuai operasi menyelamat dijangka mengadakan sidang akhbar pada malam ini. 

Menyebut sumber, agensi media tempatan, Khaosod English, Thai Rath dan Bangkok Post telah membuat laporan mengenai dua budak lelaki pertama itu, yang dibawa keluar dari gua Tham Luang antara 5.30 petang hingga 5.50 petang (waktu tempatan). 

Dua budak yang pertama diselamatkan itu kemudian diterbangkan dengan helikopter tentera ke sebuah hospital wilayah berhampiran sementara dua lagi menerima rawatan di tempat kejadian terlebih dahulu.

Dua belas budak lelaki, berusia antara 11 dan 15 tahun dan jurulatih mereka berumur 25 tahun terperangkap dalam kompleks gua yang luas itu dekat sempadan Thai-Myanmar lebih 16 hari  menyebabkan insiden itu telah menarik perhatian seluruh dunia.  

Pada kira-kira 10 pagi (waktu tempatan) hari ini, usaha untuk membawa keluar budak-budak itu bersama jurulatih mereka dari Akademi Bola Sepak Mu Pa bermula dengan bantuan 13  juruselam asing  dan lima dari Tentera Laut Diraja Thai, SEALS. - Bernama