Dalam kejadian pukul 1.14 pagi itu, mereka yang maut adalah  M. Sashwin, 20, adiknya, Kavineshan, 19, dan dua lagi sepupu mereka iaitu KP Gopalakrishnan, 20, serta N. Zed Hezronn, 18.

Seorang lagi mangsa, M. Roshan, 19, yang juga sepupu mereka parah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, kemalangan dikatakan berlaku ketika kelima-lima bersaudara itu dalam perjalanan ke Meru dari Plaza Tol Setia Alam dengan menaiki kereta jenis Daihatsu.

Difahamkan kereta itu dipandu oleh Gopalakrishnan dalam keadaan mabuk.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati kereta tersebut terbabas di bahu jalan sebelah kiri sebelum melanggar sebatang pokok. 

"Impak kemalangan itu, empat mangsa tercampak keluar dengan tiga daripadanya maut manakala Gopalakrishnan mati akibat tersepit di bahagian pemandu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Menurut beliau, kesemua yang maut dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat sementara M. Roshan masih menerima rawatan di Hospital Klang. 

Baharuddin menjelaskan, siasatan di lokasi kejadian menemui kesan brek tayar kereta sepanjang kira-kira 50 meter.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE