Dalam serbuan Ops Cegah kira-kira pukul 1 pagi itu, empat beradik berusia antara 18 hingga 28 tahun berjaya dicekup manakala bapa mereka berusia lingkungan 40-an yang juga disyaki penagih dadah dipercayai sempat melarikan diri.

Ketua AADK Daerah Baling, Mohamad Nasir Md. Radzi berkata, lima sekeluarga itu dipercayai menagih dadah jenis opiat dan methamphetamine sejak dua hingga tiga tahun lalu.

"Mereka terdiri daripada seorang bapa dan empat anaknya iaitu tiga lelaki berusia 18, 23 dan 28 tahun manakala seorang lagi wanita berusia 21 tahun yang juga ibu tunggal anak satu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, serbuan di rumah tersebut turut menemui seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang merupakan anak wanita berkenaan.

"Empat beradik yang merupakan penganggur ini menjadikan rumah mereka sebagai sarang untuk menagih dadah dan kegiatan itu dikatakan mengganggu ketenteraman awam selain berlaku kes kecurian di kawasan sekitar," ujarnya.

Menurut Mohamad Nasir, empat beradik berkenaan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Baling dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah.

"Mereka ditahan di Pusat Tahanan Reman AADK dan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 pindaan 1998," tambahnya. - K! ONLINE