Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, kesemua suspek warga tempatan yang berusia antara 31 hingga 40 tahun itu ditahan selepas terbabas melanggar penghadang jalan akibat memandu melawan arus di Lebuh Raya DUKE kerana cemas dikejar Polis.

“Tempoh reman suspek bermula semalam hingga 12 Mac ini bagi membantu siasatan berkenaan beberapa kes pecah rumah yang berlaku di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

“Tiga daripada suspek tersebut mempunyai beberapa rekod jenayah dan kesemuanya positif dadah jenis amphetamine,” katanya pada sidang akhbar Kejayaan Tangkapan Kumpulan Pecah Rumah Ah Haw di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan adegan kejar-mengejar antara polis dan empat suspek kes pecah rumah yang bermula di Taman Sri Rampai dan berakhir di Lebuh Raya DUKE apabila kereta jenis Proton Saga berwarna putih yang dipandu suspek secara melawan arus melanggar kereta orang awam hingga terbabas. - K! ONLINE