Samsung generasi kesembilan memberi fokus terhadap beberapa ciri-ciri baharu untuk menarik minat golongan muda seperti emoji AR yang lebih realistik.

"Emoji ini berlainan dengan pesaingnya apabila anda boleh mencipta melalui wajah dan suara anda sendiri," jelas Pengurus Kanan Perniagaan Telefon dan IT, Samsung Malaysia Electronics, Julian Thean ketika sesi pengenalan telefon berkenaan kepada media hari ini.

Selain itu tambah Julian, Galaxy S9 dan Galaxy S9+ turut mempunyai ciri Bixby yang boleh menterjemah bahasa asing secara langsung.

"Ia berlainan melalui aplikasi terjemahan lain, Bixby dalam telefon ini lebih canggih dan maju serta mempunyai lebih banyak pilihan bahasa asing," jelasnya.

Satu lagi ciri istimewanya kata beliau, adalah 'Super Slow-mo' apabila dapat merakam video pergerakan 960fps (bingkai per saat).

Tidak ketinggalan, telefon pintar ini dilengkapi sistem audio hasil kerjasama dengan AKG dan Dolby Atmos yang membawa audio lebih kuat tanpa pembesar suara tambahan.

Selain itu, Galaxy S9 mempunyai kamera 12MP AF di belakang dengan 8MP f1.7 di depan, manakala Galaxy S9+ lebih hebat dengan dwi-kamera (lengkap OIS) dengan satu lensa luas 12MP manakala satu lagi telefoto 12MP f2.4.

Telefon pintar ini akan dijual di pasaran tempatan mulai 16 Mac ini pada harga RM3,299 bagi Galaxy S9 dengan ruang storan 64GB; RM3,799 (Galaxy S9+, 64GB), RM3,999 (Galaxy S9+ 128GB) dan RM4,399 (Galaxy S9+, 256GB). - K! ONLINE