Kata Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 27, hanya dia yang tahu apakah alasan itu kerana selama ini dia bergelut dengan diri sendiri untuk menjadi manusia yang lebih baik. 

"Tiada siapa yang tahu apa yang saya lalui selama ini. Jatuh bangun saya hadapi seorang diri tanpa pernah berkongsi mengenainya kepada sesiapa pun. 

"Saya ada sebab tersendiri mengapa memilih jalan ini yang tidak boleh dikongsikan kepada semua. Ini soal peribadi dan cukuplah hanya saya, Allah dan keluarga yang tahu," ujarnya ketika ditemui di Studio Utusan sebentar tadi. 

Emma bagaimanapun menafikan keputusannya membuka tudung selepas berhijab selama lima tahun dibuat kerana terkesan dengan kontroversi membabitkan penyebaran gambar-gambar panasnya bersama abang Menteri Belia dan Sukan, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman baru-baru ini. 

"Netizen boleh kaitkan dengan sesiapa tetapi saya tidak akan menyalahkan mana-mana pihak atas keputusan ini. Sebab saya ambil jalan ini dengan rela hati tanpa pengaruh daripada sesiapa. 

"Saya tidak nafikan mungkin kerana sudah terlampau lama memendam dan berhadapan dengan kecaman menjadi salah satu faktor," katanya. 

Pada masa sama, pelakon Isteri Separuh Masa itu juga menjawab persoalan mengenai keberaniannya untuk muncul di hadapan awam selepas hanya beberapa hari mengumumkan tidak berhijab. 

"Tiada alasan untuk saya bersembunyi sebab saya tidak akan lari daripada kesilapan yang saya lakukan sendiri. Kalau saya bersembunyi sekarang pun, lambat laun orang akan cari saya juga," ujarnya. 

Sementara itu ketika diminta mengulas tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh ayahnya Ismail Embong di Facebook semalam, Emma berkata, dia mengakui bapanya berasa kecewa dan sedih dengan keputusan yang diambilnya. 

"Ibu bapa akan tetap menjadi ibu bapa yang hanya mahukan perkara terbaik untuk anak mereka. Sejujurnya, keputusan membuka tudung ini pun saya tidak beritahu atau berbincang dengan mereka. 

"Ibu dan ayah saya ada juga bertanya mengapa tidak bertanya atau kongsi masalah dengan dia. Apabila sudah jadi begini, ayah cuma mahu jadi yang terbaik dan dia ada memberi saya nasihat," ujarnya. 

Semalam, Ismail Embong menerusi akaun Facebooknya ada memuat naik kenyataan dengan menulis: "Duhai perempuan, wajib dijauhi jantan yang buka aibmu. Dia sesungguhnya iblis bertopengkan manusia, sering berusaha memecahkan umat dan keluarga."

Kenyataan itu sekali gus didakwa ditujukan buat Emma berikutan kes tersebarnya gambar panasnya bersama Syed Abdullah serta keputusannya membuka tudung empat hari lalu. - K! ONLINE