Elyana,30, berkata, dia bersyukur kerana setakat ini badannya belum sampai ke tahap terlantar dan tidak mampu berbuat apa-apa cuma kadang-kadang terasa lesu serta cepat letih.

“Antara punca utama saya tidak yakin untuk memberitahu tentang penyakit saya ialah bimbang ia akan membuatkan orang takut memberi tawaran persembahan kepada saya.

“Insya-Allah badan saya masih kuat dan boleh bekerja malah saya lega keran sekarang sudah tidak perlu berpura-pura sihat apabila bekerja,” katanya ketika ditemui pada majlis solat hajat dan doa selamat di Masjid Karangkraf anjuran Elyana Official Fan Clubs, baru-baru ini.

Sementara itu, pelantun Kalis Rindu ini turut memberitahu dia kini mempertimbangkan semula untuk menjalani rawatan kimoterapi andai badannya benar-benar memerlukan prosedur tersebut.

“Jika saya benar-benar perlu menjalani kimoterapi, mungkin saya akan jalaninya namun bergantung pada keadaan," jelasnya lagi.

Terdahulu, Elyana mengumumkan tentang penyakit kanser limfoma tahap empat yang dialaminya selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4) dua minggu lalu. - K! ONLINE