Beliau berkata, sentimen pengguna dan perbelanjaan akan menjadi pemacu utama pertumbuhan bagi separuh kedua tahun ini.

"Pertumbuhan eksport terus memberangsangkan mengatasi import," katanya pada satu taklimat media hari ini.

Beliau berkata, pada 2017, ekonomi Malaysia mencatatkan prestasi yang baik dengan pertumbuhan sebanyak 5.9 peratus.

Pada suku pertama 2018,  ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 5.4 peratus dan dijangka mencecah 5.5 peratus pada suku kedua.

Bagaimanapun, Jameel berkata, seperti mana pasaran negara-negara sedang pesat membangun, pertumbuhan ekonomi negara turut dipengaruhi perang perdagangan global - penyebab utama yang menjadikan pasaran turun naik ketika ini.

"Walaupun peningkatan harga minyak telah menyokong ekonomi Malaysia dengan merangsang pendapatan kerajaan, perang perdagangan global mungkin mengimbangi keadaan itu kerana ia adalah ancaman kepada pertumbuhan global yang boleh membawa kepada kekurangan permintaan terhadap komoditi," katanya.

"Kebimbangan terhadap pelaksanaan tarif dan polisi import oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut mencetuskan pengelakan risiko yang akan menjejaskan pasaran negara-negara sedang pesat membangun," kata Jameel.

Bagaimanapun, beliau berkata, ekonomi Malaysia kekal teguh dan kurang bergantung kepada komoditi dengan produk berkaitan minyak mewakili kira-kira 20 peratus daripada eksport.

"Pemulihan semula harga minyak tahun ini masih memberi sedikit sokongan kepada ekonomi tempatan berikutan harga naik hampir AS$15 (RM60.69) setong tahun ini," kata Jameel.

Beliau berkata, Gabenor Bank Negara Malaysia yang baru dilantik, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus mewarisi ekonomi yang kukuh.

"Namun cabaran kepada BNM termasuklah unjuran Rizab Persekutuan AS, hubungan AS/China dan polisi fiskal AS," katanya.

Menurutnya, risiko peningkatan inflasi pada separuh kedua tahun ini turut memberikan ancaman kepada ekonomi negara, namun kasar inflasi dijangka tidak boleh melebihi 2.5 peratus.

"Pasaran yang turun naik baru-baru ini yang memberi risiko inflasi kembali meningkat melebihi paras baru-baru ini, namun risiko itu mampu diminimumkan jika ancaman luar dapat dikurangkan," kata Jameel. - Bernama